Sunday, August 9, 2009

Projek Antologi Sang Freud Press FAQ ver 1.0



1. Sang Freud Press akan menerbitkan 4 buat antologi menurut genre dalam masa terdekat.

2. Antologi itu adalah Fantasi, Noir, Cinta, dan Sa-Fai.

3. Untuk tiap Antologi ada dua orang penyunting.

3.1. Penyunting Antologi Cinta: Taf Teh & Shaira Amira.

3.2. Penyunting Antologi Fantasi: Alina Abdulla & Reza Rosli

3.3. Penyunting Antologi Sai-Fai: Azzief Abd Khaliq & Liyana Dizzy

3.4. Penyunting Antologi Noir: Adam Kasturi & Nazri M. Anuar

4. SFP mencari 8 orang penulis untuk tiap Antologi.

4.1. Tiap Penulis akan diberi ruang kira-kira 10 mukasurat.

4.2. Tiap Penyunting juga diberi ruang yang sama, yakni 10 mukasurat untuk samada, menulis fiksyen, esei, atau menjemput seorang penulis lain untuk menulis cerpen/esei.

4.3. Ini dibuat untuk tujuan pengiraan royalti. Penulis dan penyunting akan berkongsi 50% royalti dari keuntungan untuk setiap buku (selepas ditolak modal). Jadi, setiap penulis/penyunting berhak menerima 5% royalti.

4.4. Setelah dipilih, tiap Penulis juga akan diberi opsyen untuk membikin koleksi mereka sendiri. Inilah tujuan utama projek ini: yakni untuk mencari penulisan baru.

5. Saiz buku adalah seperti berikut: 10.5cm x 15cm. Yakni saiz separuh kertas A5 (untuk contoh, sila rujuk pada Puisi Poket terbitan SFP).

5.1. Tiap buku dijangka dijual dengan harga RM15 sebuah di kedai-kedai, dan RM10 jika dijual secara terus.

5.2. Tebal tiap buku adalah 112 mukasurat.

6. Tiada tarikh tutup. Selagi belum mendapat 8 orang penulis yang sesuai, sselagi itu penyertaan masih terbuka.

6.1. Komitmen penyunting hanyalah hingga hujung September sahaja. Jika masih belum mencukupi 8 orang penulis, tugas penyuntingan akan diambil-alih oleh penerbit. Tapi penyunting masih lagi berhak terhadap perkongsian royalti seperti di atas.

6.2. Ada kemungkinan, jika penulis yang sesuai sudah ditemui, tapi jumlah penulis untuk antologi masih belum mencukupi, pihak SFP mungkin akan meneruskan dengan projek buku individu penulis itu (sudah tentu dengan kerelaannya. Ini bukan autokrasi)

7. Hakcipta karyaadalah milik penulis sepenuhnya.

8. Sila sebarkan risalah ini kepada sebanyak orang yang anda kenali sebagai tanggungjawab anda pada perkembangan sastera tanah air yang tercinta.

Monday, July 6, 2009

Perempuan Dari Venus



Perempuan ini datang dari Venus dengan semua konotasi tentang planet itu. Dia singgah di langit ke tujuh dan mahu terbang ke Paris, tapi jatuh di Shah Alam, kerana sayapnya terbakar.

Ya, dia kini di Shah Alam, membikin lagu dan menyanyi, mencari wang untuk menyewa roket supaya boleh pulang nun jauh di sebuah planet di bima sakti dan meninggalkan kita dengan hati yang rompong.

Jadilah ngefansnya selagi kamu boleh, kerana apa lagi yang kamu boleh ceritakan pada anak cucumu? Kisah kubikelmu? Trafik jam di Lebuhraya Persekutuan?

Huh.

Klik Di sini

Sunday, July 5, 2009

Gadis yang Hidup di Dalam Kotak Mancis

Agak lewat semalam, di depan restoren mamak di simpang tiga keluar ke Kuala Selangor aku terserempak lagi dengan gadis itu dengan seorang lelaki. Aku tak pernah tahu nama dia, tapi kata orang dia hidup di dalam kotak mancis.

Aku sangka itu satu metafora yang rumit, entah mungkin sebenarnya mereka mahu kata yang dia dikurung suami atau keluarga dan tak dibenarkan keluar atau apa sajalah, tapi sebenarnya tekaan aku itu meleset.

Kerana dia benar-benar hidup di dalam sebuah kotak mancis.

Di depan mata aku sendiri, aku nampak. Lelaki di sebelahnya membuka kotak mancis, membuang mancis-mancis di dalamnya, dan gadis itu, entah macam mana, melangkah masuk ke dalam kotak itu. Lelaki dengan kotak mancis itu nampak aku memandangnya, lalu menggamit aku ke arahnya.

Lalu aku melangkah ke arah lelaki itu.

Lebih mengejutkan dari hakikat yang ada gadis dalam kotak mancis yang dipegangnya, ialah betapa lelaki itu seperti begitu terdesak untuk memberikan aku kotak mancisnya itu.

Ok, mulanya dia mahu menjual kotak mancis itu.

Langsung, bila aku buat tak layan, dia serahkan kotak mancis itu pada aku dengan sampul tebal penuh berisi wang. Katanya dia sudah tak tahan.

Aku tak tahu apa yang dia tak tahan.

Entah kenapa aku ambil kotak itu, dan aku ambil sampul itu. Sampul aku letakkan ke dalam beg, dan kotak itu aku pegang.

Aku syak ini satu penipuan. Mungkin bila aku buka sampul nanti, yang ada hanya daun-daun kering dan di wang di dalam dompet aku pula hilang.

Aku tak tahu, kerana sampai sekarang aku masih belum periksa.

Aku lebih tertarik pada kotak itu, yang di dalamnya ada seorang gadis. Kononnya.

[bersambung]

Sunday, June 28, 2009

Ahmad Bertemu Awan Paling Sayu Di Dunia

Pagi itu Ahmad bangun dengan hujan menitis di kepalanya. Ahmad bangun gosok gigi, mandi dan memakai baju paling ceria, tapi hujan itu terus menerus menitik di atas kepalanya. Mulanya Ahmad tak kisah sangat, kerana hujan itu hanya rintik-rintik halus, tapi sebaik saja dia keluar dari rumah untuk membeli gula di kedai runcit Pak Chong, hujan rintik itu bertukar menjadi lebat.

Dan baju ceria Ahmad menjadi hambar dengan kuyup. Warnanya menjadi pudar dan muram.

Lalu Ahmad mendongak ke atas dan dia melihat setompok awan yang paling sayu di dunia terapung betul-betul di atas kepalanya. Awan itulah yang tak henti-henti menurunkan hujan ke kepala Ahmad.

Lalu Ahmad pun bertanya, 'Hei awan, kenapa kau turunkan hujan ke atas kepalaku?'

Awan itu menjawab, nadanya hiba, 'Kerana aku awan paling sayu di dunia.'

Jawab Ahmad, 'Itu aku faham. Tapi kenapa kau turunkan hujan ke atas kepalaku? Kenapa tak atas kepala Pak Chong?'

Awan itu menjawab, nadanya masih hiba, 'Ahmad, baiklah kau duduk, kerana ceritaku ini amat panjang.'

Ahmad melangkah ke kedai kopi berdekatan dan memesan segelas kopi. Kemudian, dia mendongak, dan berkata, 'Baiklah awan, kenapa kau turunkan hujan ke atas kepalaku?'

Awan paling sayu di dunia itu diam sebentar. Mungkin dia sedang mengolah ceritanya. Ahmad hirup perlahan-lahan kopi panasnya yang kini jadi sejuk oleh dek hujan yang memercik dari kepalanya. Kopi itu terasa seperti dicampur dengan air mata. Situasi ini buat Ahmad sendiri rasa hiba.

Sebentar kemudian awan paling sayu di dunia itu pun bermula:

Pada suatu hari, sedang aku berapungan di angkasa, sendiri tapi tak sepi, ceria bermain dengan ciak-ciak yang terbang tinggi, aku ternampak kelompok manusia sedang berkumpul di depan sebuah pentas. Waktu itu aku bukan begini. Waktu itu aku awan yang hedonis, yang sentiasa dahagakan hiburan. Yang sentiasa hauskan tawa-ria dan pesta-pora. Lalu aku segera mengapung diriku ke atas pentas itu.

Di atas pentas itu ada seorang perempuan yang sedang bermain gitar. Rambutnya lurus seperti sudah direbonding, hidungnya mancung, dan suaranya sangat merdu. Aku tak tahu namanya, kerana sewaktu aku sampai dia sedang asyik mendendangkan lagunya.

Lagunya pun aku tak tahu, tapi entah kenapa, lagunya itu menghambat segala keceriaan yang aku bawa tadi. Ya, lagunya itu buat bibit-bibit rasa hiba mula tumbuh dalam hatiku.

[Bersambung]

Thursday, June 25, 2009

Robot berbaju Ropol-ropol

Robot itu bangun pagi dengan rasa fabulous! Dengan rokok di bibir, yang tak dinyalakan (aku mesti berhenti hari ini!) dia pilih baju yang paling ropol-ropol dan warna paling pastel.

Di depan cermin dia teliti susuknya. Wah!

Kemudian dia keluar, shuffle sambil berjalan, sampai ke perhentian bas.

[mood: ceria]

Datang bas, dia lompat-lompat satu-satu anak tangga ktung-ktung ktung. Masukkan syiling, dan melangkah ke tempat belakang sekali.

Masuk seorang tua. Masuk seorang muda. Masuk seorang perempuan. Masuk seorang lelaki. Robot itu duduk, menyilang kaki, kerana bas tak penuh.

Sampai tempat kerja, seekor burung kedidi plastik, terbang lalu, dan hinggap di atas antenanya.

Mereka berdua bersiul. Macam tak ada care dalam dunia.

Sampai di tempat kerja, robot itu pakai tali leher, dan pakai tag nama. Kemudian dia duduk di atas kerus biasanya dan mula menaip. Robot itu menaip dan menaip, hinggalah tiba waktu rehat. Kemudian dia ke kafeteria pejabat, lalu beli nasi lemak, buah bidara dan air selasih.

Dia duduk di meja hujung, dan perhati orang lalu lalang, sambil makan perlahan-lahan.

Lima minit kemudian, datang seorang perempuan seksi.

Hye, perempuan tu kata, dan duduk sambil berkongsi nasi lemak dengan robot.

Lima minit kemudian, datang lagi seorang perempuan, yang pemalu tapi ayu.

Hye, kata perempuan itu, sambil berkongsi buah bidara dengan robot.

Sebelum pulang ke kubikel masing-masing, perempuan seksi dan perempuan pemalu buka tas tangan dan berikan robot kad, perempuan seksi kata, call me, honey, dan perempuan pemalu cuma tersipu-sipu.

Robot itu senyum dan angguk-angguk kepala. Kemudian dia melangkah ke kubikelnya.

Sebelum mulakan kerja robot ropol layan lagu Wani Ardy dalam ipodnya.

Sedang dia tekun menyambung kerja, guruh berbunyi.

Guruh berbunyi, bukan di luar, tapi di dalam hatinya.

[mood: suram]

Hujan mula menitis. Di dalam hatinya. Robot itu sudah mula rasa murung. Kerja yang tadi laju, sudah mula perlahan.

Dunia bergerak dalam slo-mo.

Hujan jadi ribut petir.

Pukul lima setengah semboyan berbunyi menandakan waktu kerja sudah tamat.

Robot itu keluar pejabat, berjalan perlahan, berjalan di celah-celah orang ramai.

Tiba-tiba...

[bersambung]

Monday, June 22, 2009

Cahaya di Langit itu Bintang, Sayang.

Semasa kecil, Nia, bila memandang ke langit, dan melihat kelip-kelip bintang, akan rasa teruja. Nia, bila memandang ke langit, yakin yang sinar yang sekejap tiada-sekejap ada itu adalah bidadari peribadinya (yang jumlahnya dalam puluhan ribu!) yang akan, entah esok, entah lusa (dan diperpanjangkan hari demi hari) akan menyusup dan membawanya naik ke langit (Kenapa tidak? Bukankah dia puteri yang tergelincir dari langit! Yang istananya di atas awan!)

Di sana paling-paling kurang ada aiskrim perisa choc-mint.

Paling-paling kurang.

Tapi hari ini, Nia tahu, yang berkelip-kelip itu, bintang.

Cahaya di langit itu bintang, sayang.

Itu yang dia cakap pada aku. Mungkin yang terakhir dia cakap pada aku, sebelum dia keluar dari kereta aku, dan melangkah ke stesyen elarti.

Salah aku juga, tak sepatutnya aku jatuh cinta dengan puteri dari langit dari dimensi dan ruang-masa yang berbeza.

Malam ini panjang. Mungkin malam yang paling panjang sekali dalam sejarah malam-malam yang panjang.

Friday, June 19, 2009

Satu Insiden di Stesyen Bangsar yang semakin pudar dari ingatan.

Perempuan itu datang, dan pergi dan hilang dan dia meninggalkan fragran yang buat dua tiga orang lelaki terapung terbang menuruti jejak halimunanya.

Namanya Maria, aku rasa. Dan tadi dia duduk di sebelah aku dalam Elarti. Aku agak namanya Maria, kerana dia kelihatan seperti seorang Maria, sensual, tak berhati perut dan sangat-sangat cantik.

Maria berhenti di stesyen Bangsar, dua hentian sebelum aku, dan keluar cepat-cepat.

Yang tinggal di situ fragrannya. Hampir saja aku terapung mengikutnya, tapi nasib baiklah pintu Elarti tertutup sebaik saja aku hampir.

Aku pandang di luar dan Maria sudah halimunan. Kacau si luar trek, aku lihat, sambil elarti mula melaju untuk destinasi seterusnya. Dua tiga orang lelaki terapung, dan perlahan-lahan melayang, dan melanggar orang ramai lain yang sedang menunggu ketibaan Elarti berikutnya.

Stesyen Bangsar semakin menjauh.

Aku agak seluruh warga Elarti ini sedang belajar bernafas semula.

Entah kenapa aku rasa sedikit hiba, semacam hujan yang belum turun di waktu petang, tapi langit berterusan mendung,