Tuesday, April 28, 2009

Dialah Perempuan Itu

Pagi tadi aku bangun tidur, dan aku lihat ada ketul-ketul ais mencair di atas katil aku.

Ah! Inilah padahnya bila bawa pulang perempuan yang dingin.

Aku memang lemah dengan perempuan yang dingin. Khususnya yang bercakap Inggeris dengan pelat Peranchis. Yang bila pertama kali melangkah masuk ke dalam rumahku berkata, dia cuma mahu minum kopi saja. kemudian berpaling dan senyum sendiri. Yang membuka jaketnya dan melemparkannya dengan kasual ke atas kucing yang sedang mengiau menunggu makanan.

Ya, lemah.

Dalam aku sedang berfikir sendiri itu, ais-ais yang mencair sudah cair habis. Dan tinggalah sebuah lopak di atas katil saiz singel ini.

Monday, April 27, 2009

Di KL

Dia berjalan sendiri, terhuyung-hayang seperti sepasang kekasih yang mabuk tapi masih saling mencintai.

Sunday, April 26, 2009

Belon Bernama Ahmad (WIP)

Angin yang kuat, dan jari-jemari kecil yang memegangnya terlepas, lalu Belon itu pun terbang ke angkasa. Semakin sayup ia dengar, raung anak kecil yang baru tadi saja menjadi pemiliknya.

Hanya setelah ia begeser dengan awan gemawan, barulah ia dapat kesedaran, dan mengikut hukum cogito Descartes, kesedaran ini bukti kewujudannya.

Tapi, makhluk apa yang puas menjadi sekadar satu kog dalam mesin, menjadi lebah anonimus yang membawa madu? Fikir Ahmad secara telepati, kerana belon tiada mulut, lalu ia tak boleh bersoliloki.

Namaku Ahmad, isytihar dia yang kini bernama Ahmad. Aku Belon (juga satu pengisytiharan).

Soalan paling penting dari Heidegger. Kenapa kita wujud dan bukan tak wujud?

Ahmad si belon, terpana dengan pertanyaan ini. Aliran hidrogen dalam tubuhnya menjadi rusuh. Kenapa aku wujud, fikir Ahmad berkali-kali.

Apakah hanya untuk menunai nafsu kaprisyes seorang perempuan mini yang masih belum matang dan mudah dikabur benda yang memikat mata?

Kenapa begitu santai sebab kewujudanku, dan begitu... begitu.... ahhhhhhhhhh. Ahmad mula marah. Dan kenapa tidak, kita semua mahu kehidupan epik, di mana kita adalah Akilis, atau paling cipan, Hektor. Mengetahui yang kita hanyalah si dungu tempang yang dipersenda Odisius, yang tiada siapa ingat namanya termasuklah penulis kurang ajar ini - siapa tak marah?

Lalu Ahmad mengolek-olek dirinya, mengemudi mencari bekas pemiliknya - si perempuan mini yang menangis tadi.

Pilihan terbaik adalah membunuh diri, fikir Ahmad. Dan aku takkan ke barzakh seorang!

Tapi sebelum dia sempat sampai dan melunaskan dendamnya (bagaimana, bodoh, kau belon!) seekor gagak yang terbang lalu, secara kasual, dan langsung tanpa rasa malis, memagutnya dan pop!

Wednesday, April 22, 2009

Oda untuk Sam, Cerpelai yang Cergas tapi Comot

Sam. Dia cerpelai. Dia cergas.

Tapi comot.

Sam. Dia cerpelai tersisih. Kerana, meski cergas.

Dia comot.

Sam. Jatuh Cinta dengan cerpelai perempuan yang merupai Lisa Surihani. Tapi cinta Sam ditolak kerana, meski cergas.

Sam comot.

Sam. Satu hari, dia ditemui seorang pemburu bernama Azlan B Husin, dan ditembak dengan senapang patah Remington 870, lalu hilang hatinya.

Kini Sam. Cerpelai yang Comot, sudah tiada hati.

Kini Sam tak boleh bercinta lagi.

Waktu itulah Cerpelai Lisa Surihani datang terkedek-kedek dan berkata,

Sam, di simpang jalan ke Damsyik, aku dapat epifani.

Sam, walau kau comot, kau cergas.

Sam, kau boleh kucintai.

Sam, cintailah aku.

Sam, marilah kita bercinta.

Tapi Sam.

Sudah tak berhati. Dan meski, Sam Comot, dan cergas.

Sam sudah tak berhati lagi.

Tuesday, April 21, 2009

Cik Alina dan Sebuah Kapal Terbang Kertas WIP 0.5

Ia jatuh nekad di atas kepala Cik Alina, kapal terbang kertas itu. Kertas putih mulus, dengan carik-carik, barangkali dari pagutan burung yang terbang terbalik, bila diurai, di dada kapal terbang kertas itu tertulis

"AKu Cinta Kamu."

Kamu itu aku, fikir Cik Alina, atau kamu itu seorang gadis bertuah yang sepatutnya ditakdirkan bercinta dengan pencipta kapal terbang kertas yang misterius, tapi ia terbabas dan memagut kepala aku?

Cik Alina tak pernah optimistik kerana hari-harinya selalu berawan mendung dan hujan. Dan dia selalu terlupa membawa payung.

Cik Alina cuba berfantasi yang indah-indah, tapi malang sekali dalam fantasinya juga hujan tetap turun dan dia tak membawa payung.

Lalu Cik Alina melakar satu sumpahan yang paling keji dan melontar kembali kapal terbang kertas ke langit.

Pergilah, kata CIk Alina dalam hatinya, pergilah kau kepada pemilikmu bersama dengan sumpah-sumpah aku kerana dia tak mahu bercinta dengan aku.

Dan Cik Alina pun berlalu dari tapak itu.

Di sebuah kondo mewah seorang lelaki yang terlalu sangat kacak, berambut Eric Estrada, berkumis Tom Selleck, dan bertubuh sasa seperti Fahrin Ahmad (wtf?) menyambut kapal terbang yang kembali padanya, dan membukanya dengan cermat dan hati ria.

Sesudah membaca apa yang tertulis di dada kapal terbang kertas itu, maka meletus terbakarlah dalamannya (combust internally?) bersama dengan kondo mewahnya hingga sudahnya segalanya menjadi abu-debu dan suatu hari nanti, di masa depan yang jauh akan datang, robot-robot yang kini menguasai dunia meninggalkan sebuah piagam dan tugu yang tertulis:

"Di sini matinya seorang pencinta agung."

Di waktu itu, selang beberapa batu jauhnya dari tempat kejadian, hujan mula turun di atas kepala Cik Alina, dan celaka, dia tak membawa payung lagi.

Saturday, April 18, 2009

Cinta Dramatik dengan Rama2

Pada hari itu aku bertemu dengan si rama2 yang mengeparkan kepaknya di Brazil lalu membikin taufan di Laut China Selatan dan aku sedar yang rupa2nya dia adalah taufan itu dan bukan si rama2. Celaka.

Friday, April 17, 2009

FAQ Sang Freud Press ver 1.0

1. Sang Freud Press? Jadah apanya tu setan?

Sang Freud Press adalah sebuah rumah penerbitan tak rasmi. Menerbitkan fiksyen, bukan fiksyen dan puisi dalam Bahasa Melayu saja.

2. Apa Jenis fiksyen yang SFP terbitkan?

Fiksyen frinjan atau terpinggir, yakni yang takkan disiarkan dalam media arus perdana. Fokus fiksyen SFP waktu ini, ialah cerita pendek. Tapi kalau ada novel yang bersesuaian pasti boleh dipertimbangkan. Setakat ini SFP sudah terbitkan 2 koleksi cerpen, Kasut Biru Rubina oleh Sufian Abas, dan Dua Lauk oleh Taf Teh dan D'ianadi. Tahun ini SFP merancang untuk mengeluarkan dua lagi judul. Insyaallah.

3. Apa jenis puisi yang SFP terbitkan?

Yang tak bermula dengan "Ramadhan datang lagi...", tiap Ramadhan. Puisi dari SFP datang dalam bentuk khusus, dan diberi nama yang hip: Puisi Poket, saiznya kecil, muat dalam kocek dan sangat kacip digunakan sebagai aksesori oleh pria dan wanita. Koleksi puisi pertama SFP ialah Akulah Perempuan Muda Itu tulisan Shaira Amira. Ia sedang dicetak di waktu ini. Tahun ini SFP merancang untuk menerbitkan 3 lagi puisi poket (Insyallah).

4. Apa jenis non-fiksi yang SFP terbitkan?

Waktu ini hanya sebuah buku dalam perancangan: Tontonfilem (nama belum dipersetujui), kritik filem oleh Fadli Al-Akiti. Buku ini dirancang untuk diterbitkan hujung tahun ini.

5. Mana Sang Freud Press dapat dana untuk penerbitan?

SFP mendapat dana dari pelacuran minda, yakni kerja kerja terjemahan dan pengiklanan.

Tapi SFP juga tidak menolak jika ada sumbangan yang diberi dari pihak yang prihatin, tidak kiralah dari segi wang atau tubuh badan.

6. Saya seorang penulis dan saya ingin sangat tahu tentang royalti yang saya akan terima (mereka yang alah matematik, sila palingkan kepala, kerana ia amat mengerikan).

Formula untuk royalti SFP: 50% daripada keuntungan tolak modal. Maksudnya:

Andaikan modal: RM2000
Bilangan cetakan: 500
Setiap buah buku dijual dengan harga: RM20
Andaikan semua buku terjual*.
Jumlah jualan kasar: RM10000
Jadi Royalti adalah bersamaan dengan 10000
- 2000
--------
8000/50% = RM4000

Mudah, kan?

*Caveat: Tapi ini tak mengambil kira peratusan yang diambil pengedar dan kedai buku.

7. Apakah penulis perlu menyumbang apa-apa dana?

Tidak. Penulis cuma perlu goyang kaki, dan wang serta kemahsyuran akan datang mencurah-curah.

8. Apa yang SFP buat dengan keuntungan itu? Maksud saya, apakah ia digunakan untuk tujuan menaja teroris, umpamanya?

Keuntungan SFP biasanya digunakan untuk cetakan semula buku, cetakan buku lain, permainan PS3, atau sashimi salmon belly untuk kawan-kawan. SFP mengamalkan sikap tiada rundingan dengan teroris.

9. Saya mahu menulis untuk SFP!

Layangkan emel ke dvinecomedy [at] hotmail [dot] com. Tapi ingat, emel anda mungkin tidak dilayan, kerana biasanya penulis SFP dijemput secara peribadi untuk menulis untuk SFP.

10. Saya mahu menyumbang untuk SFP kerana SAYA PERCAYA!

Layangkan emel ke dvinecomedy [at] hotmail [dot] com.

11. Di mana boleh saya perolehi buku-buku SFP?

Di semua toko-toko buku besar seluruh negara, Insyaallah. Sila bertanya pada adik-adik atau abang-abang di kaunter atau yang sedang berkeliaran kalau tak jumpa. Atau anda boleh beli terus daripada SFP di alamat (cuba teka!) dvinecomedy [at] hotmail [dot] com.

Thursday, April 16, 2009

Smlm

Aku dpt rs lg smlm. 

Aku bgk dr tdr, dan aku rs spt jika aku bk ptu, aku bkn lg di sni. Pdg yg luas. Pk pain. Ptg. Mthri menylt menghrs daun2 yg jth lesu spt hujan ryai. Ad fig berlr2 di pdg tu megamt aku, & dia bkn kau yg tdr di sblh aku.

Tuesday, April 14, 2009

Semalam.

1. Semalam, sesampai di depan pagar rumah, aku tak masuk terus. 

2. Aku duduk di dalam kereta, diperasap dengan halimunan, hembusan udara sejuk kereta.

3. Lampu di bilik atas terbuka. Kau di situ, aku tahu. 

4. Aku agak, macam selalu, kau tunggu aku.

5. Aku boleh bayangkan kau akan bergegas turun, bila dengar pintu dibuka, dan menyambut aku dengan senyuman.

6. Selalunya itulah yang aku nantikan.

7. Tapi hari ini, aku duduk di dalam kereta, diperasap dengan halimunan, hembusan udara sejuk kereta.

8. Hari ini aku tak masuk terus ke dalam rumah, macam biasa.

Saturday, April 11, 2009

No 1.

Kami bersandar di atas sofa, tangannya genggam erat tanganku. 

Kami sedang tonton TV, bila, tiba-tiba dia tanya.

Itu, kucing you, atau kucing yang you pinjam bila I ada di sini?

...

Thursday, April 9, 2009

Pasien no #15: Suzana Md Ariff

Kata Suzana, hidupnya dari waktu itu menjadi awan mendung: berat dan muram. Dia rasa seperti tidak disayangi. Dia rasa seperti hanya dia seorang dengan rambut kerinting sedangkan seluruh dunia telah menjalani rawatan teknik rebonding. 

Dia rasa hodoh. 
Dia rasa bodoh. 


Lalu dia capai beg tangan, dan mengambil segenggam pil dan dia telan kesemuanya. Serotoninnya mengganda. 

Matahari mula terbit, burung mula berkicau, dan dunia ini berwarna-warni.

* * *

Suzanna diam. Dia mahu aku marah macam semalam. Dia mahu aku lempar buku nota yang aku pegang ini ke dinding, bangun dan menghempas pintu. Tapi aku diamkan saja. Aku pura-pura berfikir dalam, tetapi sebenarnya aku sedang melukis. Di atas buku nota ini aku lukis gambar arnab.

Sepanjang cerita Suzanna aku dapat lukis empat ekor arnab. Bukanlah arnab yang paling sempurna di dalam dunia - aku bukan pelukis - tapi sekali imbas, ada esen arnab pada lukisan aku: telinga panjang runcing, gigi dua terjongong di hadapan, dan untuk lebih meyakinkan, aku lukis dua tiga batang lobak merah. Dan aku letak tajuk lukisan ini:

Arnab makan lobak.

“En Amran?”

“Ya.”

“Apa masalah saya agaknya?” Suaranya seperti gerigis.

“Sebenarnya Suzanna,” Dia yang tadi berbaring, bangkit dan duduk di atas chaise lounge di sebelah aku itu. Kononnya dia berminat.

“Sebenarnya Suzanna, awak tak wujud.”

Dia melihat aku, seringainya menakutkan.

“Bila saya tutup mata, awak akan hilang. Lenyap dari pandangan dan hilang dalam pusar akal saya. Segala-gala kewujudan dalam dunia ini adalah khalayan saya. Pejabat ini, buku nota ini, awak. Semuanya.”

“Atau mungkin,” katanya, “awak yang tak wujud En Amran. Mungkin bila saya tutup mata, En Amran yang akan lenyap dari pandangan dan hilang dalam pusar akal saya.”

Ada benarnya kata Suzanna tu, aku fikir. 

Lalu kami di situ, seperti dua orang koboi yang mahu berlawan tembak.

Siapa yang mahu tutup mata dulu?

Tuesday, April 7, 2009

Malam Ini LIberti Bunting

Mari, kata Lelaki berkumis hitam berkilat tu pada Abu dan Lisa. Mari masuk kocek saya. Mari masuk kocek saya dan kita kembara ke langit dan bintang-bintang. 

Tanpa berlengah, Lisa dan Abu terjun ke dalam kocek lelaki berkumis itu, dan ya mereka pun kembara ke langit dan bintang-bintang.
.
.
.
.
.
.
Di hujung kembara itu mereka tahu yang cuka itu masam, gula itu manis dan dunia ini, 

dunia ini, oh,  sangat pahit.