Sunday, May 31, 2009

Mari Kita Tubuhkan Kumpulan Gitar Rancak - satu atem menulis blog

Naga cakap pada gua. 'Jom buat band.'

Meor yang sedang sedut rokok pandang Naga dengan sorotan sangat hina.

Gua berhenti dari menilik nasib dari daun teh, dan cakap, 'band?'

Naga cakap. 'Gua tengok ramai sangat perempuan main gitar sekarang.' Gua, Meor dan Naga ada di restoren mamak di Anexxe. Hari Bintang Jatuh: hari 3 orang perempuan main muzik.

'Kita perlu pecahkan dominasi perempuan main gitar,' kata Naga, serius.

Gua cukup takut bila Naga berfikiran macam ni. Sebenarnya gua cukup takut bila Naga berfikir. Naga memang serba boleh, dan mempunyai misai yang sungguh jantan, tapi berfikir bukanlah kekuatannya.

Tapi gua terus layan juga. Meor masa ni dah mungkin koma dan tak dapat diselamatkan lagi (Meor! Melangkah ke arah cahaya itu dengan tenang!). 'Tapi gua cuma boleh main biola. Kalau biola tu ada satu tali. Dan dimainkan dengan gigi.' Kata gua. Juga serius.

'Gua pun tau Am C F G je.' Kata Naga.

Semua lelaki Melayu tahu kod ni. Sudah ada dalam kod genetik sejak di konsepsikan lagi.

'Habis tu, kita rupa pun tak ada.' Gua kata. Memang betul, ini bukan cuba merendah diri. Antara gua dan Naga, masing-masing hancur. Macam Quasimodo dan Frankenstein, cuma gua syak, dalam hati kecil gua, ada satu milimeter, gua lagi kacak. Gua syak, tapi tak pernah suarakan sebab takut Naga kecil hati.

Tapi hakikatnya, antara kami berdua, pakcik Indon yang terhencot-hencot bawa minuman kat restoren mamak tu, adalah umpama Adonis (dewa, bukan si penyair).

'Kita buat band yang bersandarkan, er, bersandar kat kereta'. Naga kata. 'Kemudian kita buat Hari Pasca Tahi Bintang Jatuh dan Dinosor Mati* (HPTBJdDM '09).'

Gua sudah boleh nampak potensinya.

Serius, gua memang boleh nampak potensinya.



Tuesday, May 26, 2009

2:51

Walaupun dia bukan yang tercantik di situ, kau suka cara dia menyelinap di bawah cahaya matahari supaya riaknya nampak nakal.

Kau pandang dia dari jauh, dan kau minum perlahan-lahan. Dia tak pandang kau langsung. Matanya tertumpu pada pasangannya. Tapi seluruh tubuhnya, sedang meneliti setiap perinci kau.

Ini cinta. Ini metafora. Ini metafora tentang cinta.

Dalam dua minit lima puluh saat, kau akan bangun, pergi dari taman itu dan hilang dari pandangan dia. Kau takkan bertemu dia lagi. Dia takkan bertemu kau lagi. Tapi dalam tempoh dua minit lima puluh saat itu juga, ekstasi ini akan kekal selama-lamanya.

Cerita Fantasi yang Aku Tulis... mesti kena rejek ni... apalah..nak hulur cakaplah...

erdiri di depan pasukan pemanah diraja, terikat pada tiang yang marmar, menunggu anak-anak panah menembus tubuhnya, Nizar tiba-tiba teringat waktu pertama kali ayahnya menunjukkan padanya ais kacang.

Datang dari kampung, yang masih menggunakan pelita karbaid, itulah pertama kalinya dia mellihat air beku, dan usaha manusia untuk menjadikan alam ini benda yang boleh mereka baham.

Tak pernah Nizar terbayangkan begini hidupnya akan berakhir.

Hanya setahun lepas, dia masih lagi mengikut ayahnya berkebun, bila, tersilap jalan, mengambil lorong ke rumah Tok Siak, dia langsung hilang dari kampungnya dan tiba di sebuah... tempat lain. Nizar masih ingat, hampir suku putaran matahari dia berjalan, sebelum dia temui pemandangan ganjil itu: seekor kuda putih, menjilat-jilat bangkai seorang lelaki lengkap berpakaian panglima (dan masih berbau limau kasturi, dia berani bersumpah).

Entah apa yang merasuknya waktu itu, dia seperti terdorong untuk menggantikan pakaiannya yang lusuh rabak itu dengan pakaian si bangkai itu. Dan apa yang membuatnya untuk menunggang kuda itu, menuruti destini si bangkai lelaki yang kini bogel itu.

Nizar sendiri tak tahu. Kadangkala dia rasa seperti boneka takdir yang dimainkan ke kiri dan ke kanan tanpa rela. Tapi hakikatnya, kuda putih itu membawa dia ke sebuah istana yang maha besar, yang hampir tenggelam diselimuti belukar.

Di situ juga dia ditahan dua makhluk aneh, kedua-duanya bertombak, dan dalam bahasa yang waktu itu dia tak fahami, mereka meminta pengenalan dirinya.

Nizar teringat, rasa panik dirinya, meraba-raba kocek itu dan ini, bila dari tanjaknya, jatuh satu kad yang tertulis:

Nama: sang Putera Kacak
Pekerjaan: Mencari Puteri untuk Dikahwini
No Pendaftaran: 03-33933725

Kad jatuh, dan jatuh terus ke tangan dua makhluk aneh itu, dan mereka menilitinya buat seminit sebelum menyerahkan kad itu kembali padanya dan berlalu dari situ dan hilang dari cerita ini.

Sekuen peristiwa yang berlaku seperti trailer sebuah filem dongen pari-pari:

Dia masuk ke dalam istana lusuh itu. Dia bertemu seorang puteri yang maha cantik yang sedang beradu lena dia atas katil yang tak terhingga mewahnya. Diciumnya bibir puteri itu. Puteri itu terjaga dan terus jatuh cinta padanya. Dan segala yang lusuh datri istana itu hilang tiba-tiba, dan yang tinggal kegemilangan sebuah kerajaan seperti dalam cerita dongeng. Nizar dan puteri itu berkahwin, dan seharusnya mereka akan hidup bahagia, abadi selama-lamanya.

Itulah yang seharusnya berlaku, fikir Nizar.

Tapi hari ini, dia terikat di sebatang tiang, menunggu pasukan pemanah diraja membidik tubuhnya. Dan dia pula teringat di satu kala itu, bila ayahnya membawanya melihat ais kacang.

Apa yang berlaku di antara dua babak itu?

Tuesday, May 19, 2009

Cerita Sai-Fai yang aku tulis. Plis plis plis janganlah rejek

Gadis dari Tompokan Roshak
-----------------------------------

Supardi mengeluh. Supardi mengeluh panjang. Supardi tak sangka sampai macam ini boleh terjadi.

Dia cuma mahu pulang kerja dengan aman...

Semalam, sewaktu pulang dari rumah - runsing, sepi dan sangat-sangat resah - Supardi ditahan seorang lelaki yang berpakaian serba hitam. Kata lelaki itu,

'Abang resah? Abang runsing? Tak ada orang menunggu di rumah? Malam-malam begitu panjang? Bangun subuh rasa gelisah?'

Bila diteliti, Supardi sedar, ada yang tak kena dengan lelaki itu. Dia tak boleh nak pakukan imej lelaki itu dalam pandangnya. Lelaki itu seperti gambar di dalam gelap yang diambil dengan ISO rendah. Kabur. Lelaki itu kabur.

Spem hologram lagi, fikir Supardi. Lagi sekali, fikir Supardi. Celaka mana yang sebarkan nama aku pada syarikat spem. Supardi tahu, sampailah dia ke rumah barulah hologram itu akan hilang. Celaka sungguh hari kerajaan luluskan Cip Pengenalan dalam badan tiap manusia.

Lalu Supardi terus berjalan.

Hologram serba hitam itu menurutinya, mulutnya tak berhenti bercakap, menjual itu dan ini. Tapi yang Supardi dengar hanyalah bla bla bla bla bla hinggalah di kilometer ke-3 bila dia mendengar bla bla-bla bla gadis idaman bla bla bla.

Dan Supardi pun terhenti.

Seperti singa menerkam tupai yang tergamam melihat kacang di bawah pokok, hologram itu menerkam mangsanya,

'Ya, abang. Ini kaedah baru untuk dapatkan Gadis Idaman abang'

Supardi mendengar dengan teliti.

'Tak perlu bayaran selama 30 hari.' Entah dari mana muncul sebuah buku. Buku tu terapung di depan Supardi.

'Pilih abang. Pilih yang mana satu yang abang berkenan.'

Supardi meneliti buku terapung tu. Tiap helai ada tompokan-tompokan umpama tompokan Roshak. Dia rasa amat tertarik dengan tompokan-tompokan itu. Entah kenapa. Ada seperti rasa erotik, yang menjalar dari ubun-ubun kepalanya, dan melingar-lingkar lesu di seluruh tubuhnya, seperti aliran elektrik yang malas.

'Macamana nak pilih,' tanya Supardi. Suaranya seperti di awangan juga. Supardi seperti terpukau dek tompokan-tompokan itu.

'Abang akan tahu sendiri," kata hologram itu. Mustahil, fikir Supardi, tapi aku dapat rasa yang hologram itu sedang tersenyum.

Satu tompok, yang seakan-akan burung Rajawali menyerang seekor arnab tempang, buat Supardi rasa luar biasa cengkamannya.Seluruh tubuhnya rasa kejap, dan tegang, dan seperti ada sesuatu yang perlu dilepaskan.

'Yang itu,' suara Supardi hampir tak keluar. Setiap iota tubuhnya merusuh melawan fikirannya.

Hologram itu mengangguk lalu ia bercakap sendiri, entah formula apa, Supardi tak tahu. Entah berapa lama, Supardi tak tahu, hinggalah ada suara, yang berkata,

'Masukkan kad kredit abang di sini'

Selesai sudah transaksi itu, Supardi berjalan pulang.

'Di rumah abang nanti,' kata si hologram sebentar tadi. 'Di rumah abang nanti, Gadis Idaman Abang akan menunggu'.

'Bagaimana,' fikir Supardi, 'Bagaimana agaknya rupa gadis idamanku itu.' Dirinya yang tadi lemah, merasa seperti disuntik tenaga baru. Ada burung-burung bernyanyi, sumpah, itu yang Supardi dengar. Matahari yang tadi semakin usai, seperti memancar terang menghalau langit mendung.

Segalanya ceria seperti iklan syampu.

Dua puluh minit kemudian, Supardi sampai ke apartmennya. Tubuhnya sudah mengeletar dek suntikan serotonin yang berlebihan. Mahu rasanya dia berlari naik tangga ke tingkat lapan belas daripada menunggu lif yang maha lembap ini!

Di depan pintu Supardi berdiri, takut untuk melangkah masuk. Bagaimana, fikir Supardi, kalau apa yang ada di rumahnya ialah seorang perempuan gemuk? Bagaimana kalau bila dibuka pintu, yang menyambutnya seorang dwaf tempang bermata sebelah? Dan dwaf itu androginus? Dan bagaimana kalau...

Bagaimana kalau...

Bagaimana kalau aku menyukainya?

Supardi mengeluh. Supardi mengeluh panjang. Supardi tak sangka sampai macam ini boleh terjadi.

Dia cuma mahu pulang kerja dengan aman....

Monday, May 18, 2009

Cerita Cinta yang aku tulis. Harap2 tak kena rejeklah

Aku bangun hari tu, hari Isnin dan dapati hati aku sudah dicuri.

Celaka.

Aku boleh agak siapa yang mencuri hatiku itu. Kenapa aku lalai sangat?

Biasanya aku jaga hati aku baik-baik. Tiap kali pulang ke rumah aku akan simpannya dia dalam peti besi dan kuncinya rapat-rapat. Tapi hari tu Maisarah dan suaminya datang untuk minum-makan-bersantai, dan aku tak boleh tidak rasa terdorong mahu tunjukkan pada mereka hatiku yang tak pernah dicuri itu.

Nah, ini rupanya hati yang tak pernah disentuh tangan lain, aku kata, bangga menunjukkan hatiku yang berkilat-kilat dan masih dalam pembalut plastiknya. Suami Maisarah, Danial, macam tak peduli, tapi aku tahu dia cemburu. Maisarah pula, bila aku fikir sekali lagi, ya, memang itu nafsu yang membara di matanya.

Celaka.

Memang sudah nyata. Yang mencuri hatiku itu Maisarah, isteri si Daniel.

Perempuan celaka.

Apa harus aku buat?

Mula-mula aku fikir mahu telefon saja Maisarah dan mendesak dia beri kembali hatiku itu. Tapi aku agak, dia takkan berikannya begitu saja. Aku perlukan sesuatu untuk dijadikan umpan. Aku perlu bling-bling yang berkilauan yang boleh menggoda perempuan macam Maisarah.

Aku perlu permata. Wang Ringgit. Atau kereta mewah.

Celaka.

Kerana yang aku ada hanyalah sekampit besar yang sudah dihurung bubuk dan sepaket mee goreng segera.

Celaka.

Lama aku duduk di bibir katil, memikirkan dilema aku ini. Agak lama, kerana bila aku disedarkan oleh ketukan di pintu, matahari sudah condong dan hampir terhempas di horizon. Langit siang sudah usai.

Perlahan-lahan aku bangun dan aku buka pintu.

Dan, celaka.

Siapa di depanku kalau bukan Maisarah!

Aku mahu cakap sesuatu. Aku mahu sumpah seranah perempuan ini. Tapi lidahku kelu. Tanganku dibahasi peluh. Dan jantungku berdegup dag-dig-dug.

Ini, kata Maisarah. Ini hati awak. Saya tak sengaja ambil. Saya agak ia terjatuh dalam beg tangan saya yang besar ini [menunjukkan beg tangannya yang, ya, memang besar].

Aku ambil hatiku itu dan Maisarah pun berlalu pergi.

Aku lihat dia hilang di balik kereta yang lalu lalang.

Celaka, aku fikir, sambil memegang hatiku itu, yang aku lihat sudah tercalar. Sedikit saja calarnya, tapi masih tercalar.

Celaka.

Friday, May 1, 2009

Semoga Hari Buruhmu Dibakar Api Asmara

Di hari buruh ini aku pasang tv tanpa suara.

Aku tekan toaster tanpa roti.

Aku microwave air masak.

Aku pusing tombol pintu berkali-kali.

Aku baring atas tilam sambil pandang kipas berputar.

Aku tutup dan buka mata empat puluh kali.

Aku fikir tentang sepuluh benda yang mustahil, kemudian makan roti kosong, dan sambung fikir dua lagi benda yang mustahil.

Aku duduk berhadapan dengan dinding.

Di hari buruh ini aku menunggu.

DSC

Di antara mata dan pipi perempuan dingin ada parut minut, yang kalau dilihat dari jauh, sukar untuk dikesan. Itu saja cacat di mukanya.

Aku tak pernah tanya, walaupun aku ingin tahu.

Semalam sewaktu dia buka pintu rumahnya, dan sambil aku buka kasut untuk melangkah masuk, aku nampak parut itu sudah hilang. Dan aku tiba-tiba tertanya pada diri, apakah memang wujud parut itu atau hanya khayalan aku saja?

Dan kalau ia hilang kini, dari khayalan aku, apa maksudnya?

Apakah selepas ini dia akan tumbuh sayap dan terbang ke langit?

Ah, perempuan dingin...