Friday, February 19, 2010

Lapan Belas Bintang yang Harus Aku Cari

Sebelum tidur, Fazleena, anak Lebai Hisham, suka mengira bintang. Tidur mengiring, melihat dari selit tingkap yang sedikit terbuka, dan diterangi hanya cahaya bulan, dia menghitung cahaya-cahaya kecil yang mungkin hari ini sudah mati dalam perjalanan tahun-tahun cahaya mereka. Selepas mengira, biasanya Fazleena akan lelap sendiri, dan mimpikan nyiur gading, dan gajah-gajah comel, sang kancil dan advencernya, monyet-monyet dari langit ketujuh, dan kendi masam-masam manis dari sarkas Rusia. Hidup Fazleena di tahun ketujuh kelahirannya, tenang, aman dan gembira.

Hinggalah satu hari.

Lapan belas bintang Fazleena, anak Lebai Hisham, kira. Lapan belas. Tidak kurang-tidak lebih. Tapi sehari lepas peristiwa kawan baiknya, Bob, jatuh ke dalam sungai Kampung Sirna dan lemas, Fazleena, anak Lebai Hisham mengira dan mengira, mengira dan mengira, dan jumlah yang diperolehinya tujuh belas.

Tujuh belas.

Dunia Fazleena, anak Lebai Hisham tergoncang. Gegarnya sampai ke perdu hati, langsung membakar darah, dan menikam sukmanya. Dunia sudah tiada horizon. Langit segalanya hitam. Matahari sudah mati. Dan bintang hanya tujuh belas.

Fazleena, anak Lebai Hisham rasa tersepit. Sukar bernafas. Segala mergastua pebangkai terbang mengelilingnya, menanti saja dia diangkat ke langit (kerana itu konsepsi mati baginya). Genting. Fazleena, anak Lebai Hisham kini di presipis. Bintang di langit, satu-demi satu lenyap. Kini tinggal enam belas. Kini tinggal lima belas. Kini tinggal empat belas. Kini tinggal...

Lalu melompat lalu seekor cengkerik. Berkumis dan berkaca mata hitam. Topi hitam, dan kasut sukan. Ini cengkerik paling ranggi Fazleena, anak Lebai Hisham pernah lihat. Dan dunia pegun seketika.

"Assalamualaikum, Fazleena, anak Lebai Hisham," Dia berkata, cengkerik itu.
"Walaikumsalam, cengkerik."
"Kamu tahu kenapa aku di sini?"
Fazleena, anak Lebai Hisham menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Itu," jarinya dituding ke langit. Ke arah bintang yang kini empat belas.
Mata Fazleena, anak Lebai Hisham menuruti jari cengkerik itu.
"Kamu tahu apa yang kamu perlu buat?"
Fazleena, anak Lebai Hisham menganggukkan kepalanya.

Fazleena, anak Lebai Hisham tahu apa yang harus dia lakukan. Fazleena, anak Lebai Hisham harus mencari setiap butir bintang yang hilang itu, dan menggantikannya kembali ke langit malam.

Lalu dunia mula berputar kembali, lebih dingin, lebih malam, dan lebih mengerikan dari sebentar tadi.

[Akan datang: Fazleena, anak Lebai Hisham, bertemu Bob, yang pura-pura mati dan sebenarnya menjadi kuda laut di sungai Kampung Sirna]

Wednesday, February 17, 2010

Obses

Antara ingat atau tidak kata-kata Wittgenstein tentang bersuara dan menutup mulut, dia mengopek peti surat apartmen Z. Ini bukan obsesi, fikirnya, ini cinta.

Menoleh kiri kanan (dan kiri sekali lagi, ah, celaka habit ni!), tangannya menerjah pasir jerlus peti surat Z, menggenggam surat-surat di dalamnya - ini bil, ini penyata bank, dan ini, dan ini apa? - dan sepantas itu juga dia berlari ke keretanya.

Ini cinta, fikirnya, bukan obsesi, sambil dia cuba menenangkan taufan di dada.

Hawa dingin, seperti anak panah zeno yang perlu melintasi inifiniti garis garis, tak sampai dan buat dia rimas.lemas. tangannya kini hanya kuku saja, mencakar-cakar surat yang diambil, yang utamanya yang ITU.

Antara mahu dan tidak, dia membaca.

Tuesday, February 16, 2010

Takzirah Santa Valentina

Di hari valentin, tergolek anjing, di atas pevmen, lidahnya merasa-rasa mencari gigi yang patah. Tiada, gigi patah, tapi rasa karat darah gusinya buat dia loya.

Berbaring, dia memandang ke langit, cuba mengira bintang.

Hujan turun rintik-rintik, jatuh seperti bom-bom atom yang dibawa B limapuluh dua minuskul, pecah dan memercik di kaca matanya. Dia hanya boleh fikirkan tentang X, yang semakin jauh dibawa teksi sebentar tadi.

Malam gelap, kerana itulah fitrah malam, tapi suasana tak sunyi, di kelilingnya, orang ramai lalu lalang. Tak siapa pedulikannya kerana dia halimunan.

Orang yang sendiri di hari Valentin, selalunya halimunan, seperti lubuk puaka yang dijauhi orang.

Dia cuba bangun, tapi tubuhnya sudah di luar kawalan.

Dan perlahan-lahan dia mencair dan mengalir bersama hujan, mengalir masuk ke dalam longkang, ke dalam pembetung.

Monday, February 8, 2010

Perempuan yang Mahu Hidup Di Bawah Payung

Di balkoni petang itu, buat kali ke berapa entah, dia pandang ke langit. Di tingkat sebelas, sebelah tangan memegang cawan kopi yang baru saja dikisar, bau kopi bercampur baur dengan aroma petang - seks sumbang di atas sofa, rumput yang mati dilenyek tayar kereta, dan budak-budak membunuh belalang: dosa-dosa yang besar, kecil serta sederhana.

Langit yang terang, katanya, membosankan, mematikan misteri. Dan katanya dia mahu hujan turun, selebat-lebatnya supaya dia boleh hidup di bawah payung dan memandang ke kabur rintikan laju, dan membayangkan satu langsir gergasi, yang memisahkan dunia ini dengan dimensi yang satu lagi.

Mungkin di sebelah sana, kita akan nampak musytari, atau bidadari, katanya lagi, sambil menghirup kopi perlahan-lahan.