Aku pandang dia sekali lagi. Tak syak lagi. Memang benar dia gadis dari mimpi aku dua hari lepas. Dia yang berselimut di atas sofa dengan kawan baik aku, sewaktu aku melangkah masuk. Dia yang dalam durasi mimpi itu, hingga waktu penggera telefon berbunyi menandakan mulanya tempoh Breakfast McDonald's (jam 4 pagi), manusia yang paling aku cintai. Dia yang bangkit dari sofa, bila mendengar aku masuk, dan berkata, "Oh, saya baru saja berkahwin dengan kawan baik awak ni."
Aku rasa sungguh dikhianati waktu itu, lalu aku mencari kereta yang aku masih ingat lagi di letak di sebelah gelanggang bola keranjang.
Pagi itu, walau Hash Brown rasa garing dari biasa, aku rasa segalanya kelat. Semacam dua hari tak gosok gigi kerana takut melihat cermin bilik air.
Waktu aku pandang dia waktu itu - dia duduk, dan aku berdiri dalam elarti - dia menoleh mukanya ke arah aku, lalu terus aku terasa terbakar oleh api berahi. Kami saling memandang, dan dalam ruang sesak itu, kami perlahan-lahan terbakar.
Elarti tiba di stesyen seterusnya, tapi kami sudah tiada; sudah menjadi debu yang berpusar-pusar kecil di kaki warga kota yang semakin menyesak di dalam elari itu.