Seperti
drama Melayu lazim, cerita saya bermula dengan kemalangan kereta. Kereta saya,
sebuah Myvvi hitam, yang usianya baru seminggu, dan keretanya sebuah sebuah
Mini Cooper kuning. Sebenarnya saya masih
samar tentang apa yang berlaku. Yang saya ingat, Blackberrry saya berdering,
saya jawab, dan tiba-tiba sebuah Mini Cooper Kuning melintas. Saya langgar
belakangnya, tepat pada lampunya dan di antara kecai-kecai kaca lampu itu saya
lihat ia berpusing, serentak dengan waktu saya menekan brek.
Waktu itu siang. Dan kami di sebuah kawasan perumahan yang rimbun. Di kiri-kanan pepohon rendang membayangi jalan. Redup di asfal, bertaburan daun-daun kering. Bila saya keluar, dan melangkah ke arah Mini Cooper kuning itu, saya boleh dengar tapak kasut saya memijak dan kadangkala menyeret daun-daun kering itu.
Krrrrunch.
Krrrrunch.
Krrrrunch.
Saya dekati Mini Cooper itu dan saya lihat pemandunya (seorang perempuan) sedang menggenggam erat stereng keretanya. Dia memandang terus (saya pandang ke arah pandangannya, tapi yang saya nampak cuma susunan rumah suburbia).
Pada dahinya saya nampak seperti ada aliran darah halus.
Angin bertiup tenang. Dari jauh, sayup bunyi Kuala Lumpur. Tapi kawasan kemalangan itu lengang. Situasi ini mengingatkan saya kepada banyak filem-filem Indie yang saya tonton.
Cik, saya tanya. Cik, ok? Dua kali saya bertanya. Kali kedua saya bertanya barulah dia menoleh ke arah saya. Waktu itu aliran darah halus di mukanya itu sudah sampai ke pipinya. Dan ini yang saya fikir – maaf kalau ia sedikit absurd – apa lagu paling sesuai untuk situasi ini? Mungkin lagu Yuna. Walaupun saya bukanlah penggemar tegar lagu Yuna, saya kira situasi kami ini amat sesuai dengan lagunya. Dalam senarai mental lagu akal, saya meninjau lagu yang paling tepat bila penumbuknya mengenai pipi saya.
Norman Mailer, dalam The Fight (sebuah tesis tentang pertarungan Muhammad Ali dan George Foreman) berkata yang keadaan KO (knockout) selalunya berlaku bila kita tak menjangka akan ketibaan penumbuk: hurai beliau, otak kita tak mampu nak proses apa yang berlaku, lalu ia tergamam, mati dan hidup kembali seperti sebuah komputer. Julio Cortazar pula dalam satu puisinya berkata yang cinta itu satu kejutan dan ia datang waktu yang kita tak jangkakan. Persamaan antara kedua itu buat saya jadi keliaru, apakah waktu saya dijatuhkan oleh penumbuk si pemandu Mini Cooper itu juga adalah waktu saya jatuh cinta padanya.
5 comments:
rasanya yg first draf tu lagi okay.
Mana ada draf lain.
bila terbit buku baru? koleksi sufian abas sahaja. ada?
WTH
Darkk
entahlah
Post a Comment